9 tahun 'dipenjara' azab dunia - Kudus
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Berbaju kemeja, seluar panjang lusuh ditambah dengan selipar buruk yang sudah dua tahun tidak berganti, tiada siapa menyangka itulah penampilan terkini bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad.
Destinasi yang hendak dituju lelaki yang cukup digeruni ramai peniaga haram di sekitar Ampang suatu ketika dahulu bukan ke rumah jiran, sebaliknya ke Seremban bagi menziarahi bapa mertuanya dan satu-satunya pilihan untuk ke sana adalah dengan menaiki bas ekspres.
Ini kerana selepas sembilan tahun turun naik mahkamah atas tuduhan rasuah selain turut diisytiharkan muflis, Abdul Kudus hilang segala-galanya sehingga memaksa beliau bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak.
Namun, selepas hampir sedekad melalui azab dunia, kebenaran akhirnya berpihak kepadanya apabila terbaru, Mahkamah Rayuan memutuskan pemecatan beliau sebagai Pengarah Penguat Kuasa MPAJ lapan tahun lalu tidak sah dan bekas pegawai tentera itu layak menerima pampasan.
"Saya bersyukur kerana akhirnya kebenaran tetap mengatasi kebatilan walaupun kehidupan saya sudah musnah sejak sembilan tahun lalu. Sebenarnya tiada sebab untuk saya bergembira dengan keputusan ini kerana sepanjang sembilan tahun turun naik ke mahkamah, saya sudah 'dipenjara' secara terbuka.
"Saya hilang segala-galanya. Saya hilang isteri (bekas isteri) dan anak-anak (lima orang). Mereka dipisahkan daripada saya kerana bekas isteri malu padahal saya tidak bersalah. Sanak-saudara juga membuang saya daripada hidup mereka sehingga pernah suatu ketika saya hidup sebatang kara.
"Saya juga kehilangan ibu, iaitu satu-satunya insan yang yakin saya tidak bersalah kerana kes ini. Rumah dan kereta juga terpaksa dijual bagi melangsaikan hutang bank sehingga saya terpaksa berjalan kaki," katanya kepada Mingguan Malaysia sambil cuba menahan air mata daripada bercucuran.
Abdul Kudus ketika ditemui di rumah dua bilik yang dihuni bersama isteri dan dua anak berkata, beliau tidak boleh bercerita banyak mengenai arwah ibunya kerana tidak yakin mampu mengawal emosi memandangkan terlalu banyak pengorbanan dibuat sehingga wanita itu 'tewas' akibat terkejut dengan ugutan bunuh yang diterima anaknya.
Ditanya tidakkah keputusan Mahkamah Rayuan itu mampu melegakan beban yang terpaksa ditanggungnya selama ini, beliau yang ketika ini menyara kehidupan dengan memandu teksi berkata, azab belum berakhir kerana kesan daripada pertuduhan rasuah terus menghantui keluarganya (dengan isteri baru).
"Saya masih tidak memiliki kerja tetap yang mampu memberi pendapatan lebih stabil. Kehidupan sebagai pemandu teksi (teksi sewa) cuma cukup untuk tanggung makan dan minum. Sehingga hari ini, yuran sekolah anak-anak masih tertunggak, jauh sekali untuk bercakap soal baju raya baru," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Kudus berkata, beliau sedia untuk kembali membuktikan kepada masyarakat yang dirinya menjadi mangsa perangkap dan percaturan pihak tertentu jika ditawarkan oleh MPAJ bagi menerajui kembali unit penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
No comments:
Post a Comment